Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Mahkamah Majistret pada 3 Oktober lalu telah memerintahkan sekumpulan lelaki dan wanita terdiri daripada lima warga tempatan dan 12 penduduk tetap untuk membayar denda, atau berdepan hukuman penjara, selepas mereka mengaku bersalah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka.
Lelaki tempatan, Chong Wai Meng, 53, diarah membayar denda $7,000, atau penjara tujuh bulan jika gagal membayarnya, kerana membenarkan sebuah rumah di Jalan Sungai Pandan, Kuala Belait digunakan sebagai tempat berjudi pada 10:26 malam, 24 Mac lalu.
Sementara itu, Pemangku Majistret Kanan Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan lelaki tempatan, Teo Liang Heng, 59, membayar denda $6,000, atau penjara enam bulan, kerana berjudi di rumah itu.
Seorang lagi lelaki tempatan, Mohd Afddy Sukhri bin Abdullah, 57, diarah membayar denda $5,000, atau penjara lima bulan, kerana membiarkan rumah miliknya digunakan sebagai tempat berjudi.
Tiga lelaki lelaki penduduk tetap iaitu Lau Then Min, 58; Hwang Huat Sing, 63, dan Wee Kian Lai, 68, masing-masing didenda $3,500, atau tiga bulan penjara, kerana berjudi di rumah tersebut.

Sementara itu, enam lagi lelaki iaitu Yau Koi Khin, 63; Sim Kwang Mee, 65; Wong Nyuk Yin, 65; Leong Theng Yong (warga tempatan), 57; Wun Chang Whun, 56; dan Chin Ba Sheng, 62 serta seorang wanita, Chey May Fun, 54, masing-masing diperintahkan untuk membayar $3,000, atau menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana berjudi di rumah itu.
Dua lagi iaitu Wong Sui Lian, 56 dan Chong Ji Juinn, 41, masing-masing diperintahkan untuk membayar denda $1,000, atau menjalani hukuman penjara sebulan, kerana berjudi di rumah itu.
Manakala itu, seorang wanita warga tempatan, Khadijah binti Abdullah @ Lau Chong Yin dan lelaki penduduk tetap, Liew Ze Shyan, 38, masing-masing didenda $800, atau menjalani hukuman penjara tiga minggu kerana menjadi ahli perhimpunan haram dan bermain dalam permainan di rumah itu.
Pendakwa Raya Nurul Husna Aqilah binti Haji Abidin mendedahkan di mahkamah bahawa Pasukan Polis Diraja Brunei menyerbu rumah itu pada 10:26 malam 24 Mac, selepas menerima maklumat daripada orang ramai, yang membawa kepada penahanan dan membongkar sesi perjudian Pai Kow.
Polis turut merampas sejumlah besar barangan perjudian dan wang tunai berjumlah di bawah $30,000 dan S$41.

