Judi: 3 lelaki, 9 perempuan ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seramai 12 orang telah ditahan kerana berjudi dalam serbuan ke atas sebuah bilik tempat tinggal pekerja asing di kawasan Kiulap, malam tadi.

Kesemua mereka, tiga lelaki dan sembilan perempuan, merupakan warga asing dan penduduk tetap yang berusia sekitar 36 dan 66 tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Serbuan yang dijalankan sekitar pukul 9:43 malam itu merupakan hasil kolaborasi antara Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat serta Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB.

Kenyataan menyatakan, perjudian melibat permainan daun terup jenis pusoy dengan penemuan sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada permainan perjudian tersebut.

Kesemua suspek dan barang-barang bukti dirampas dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi siasatan lanjut manakala kes berkenaan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

Kenyataan menekankan, kegiatan perjudian yang dikendalikan tidak akan memberikan impak positif terhadap pembangunan masyarakat bahkan lebih parah dan mendatangkan kesan negatif sekali gus menjadikan masyarakat mengamalkan nilai-nilai yang tidak baik dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh itu, PPDB menegaskan kepada masyarakat awam bahawa mengendalikan kegiatan perjudian adalah ditegah sama sekali bahkan menyalahi undang-undang.

PPDB juga akan secara berterusan membuat pemantauan serta risikan bahkan mengambil tindakan sewajarnya kepada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan di negara ini.

Tiga lelaki dan sembilan perempuan telah ditahan dalam serbuan di sebuah bilik kediaman pekerja asing di Kiulap. – Gambar serahan PPDB