Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Akibat leka bermain judi ‘Pai Kow’, dua wanita, masing-masing warga Malaysia dan penduduk tetap dijatuhi hukuman denda $800 atau tiga minggu penjara jika gagal membayar oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan denda tersebut selepas Fong Mee Hiong, 52, dan Mak Nyuk Mei, 43, mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Kilanas pada 7 Februari 2013.
Kedua-dua mereka didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Karen Tan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka, Penggal 28 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda $10,000.
Kedua-dua mereka didakwa bermain judi semasa polis dari Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat melakukan serbuan di rumah tersebut sekitar jam 1:50 pagi.
Fong Mee Hiong ketika itu meletakkan pertaruhan antara $30 hingga $50 dalam permainan ‘Pai Kow’. Semasa pemeriksaan, polis turut merampas wang tunai sebanyak $9,852 yang dikongsi kedua-dua tertuduh untuk perjudian.
Majistret Dewi Norlelawati memerintahkan wang rampasan daripada perjudian itu diserahkan kepada pihak kerajaan.