Ramadan seharusnya menjadi bulan yang penuh keberkatan, bukan semata-mata untuk mencari keuntungan dengan menipu pelanggan. Malangnya, masih ramai pembeli yang kecewa apabila makanan yang dibeli tidak seperti diharapkan – burger hangus, roti john hanya berintikan telur dan daging ‘ghaib’, kebab lebih banyak timun daripada daging dan banyak lagi.
Namun, di sebalik kekecewaan itu, terdapat satu kisah yang patut dicontohi. Semasa saya sedang melayari Facebook, saya terbaca luahan salah seorang kawan Facbook saya yang mana dia merupakan seorang pelanggan tetap di salah sebuah gerai burger. Dia meluahkan rasa kecewa kerana burger yang dibelinya hangus, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Dengan penuh rasa tanggungjawab, pemilik perniagaan segera meminta maaf dan meminta pelanggan itu datang semula untuk mendapatkan ganti. Apa yang lebih menarik perhatian saya ialah respons pemilik berkenaan yang mana, bukan satu tetapi tiga burger diberikan untuk mengganti semula burger yang hangus itu. Tidak cukup dengan itu, pemilik gerai terus menghentikan jualan seketika untuk memeriksa setiap burger yang disediakan agar kejadian sama tidak berulang.
Itulah contoh peniaga yang mengutamakan kejujuran dan kualiti dalam perniagaan. Sikap bertanggungjawab seperti itu bukan sahaja mengekalkan kepercayaan pelanggan, malah menjadikan perniagaan lebih diberkati. Semoga kisah itu menjadi inspirasi kepada semua peniaga untuk terus mengamalkan kejujuran, tidak kira dalam bulan Ramadan mahupun sepanjang tahun.
Nor Azharah
