Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dalam pemilihan jawapan apabila membuat penilaian diri semasa menggunakan aplikasi BruHealth, bagi menggelakkan daripada permohonan itu diberikan kod yang salah atau tidak sepatutnya.
Jika seseorang mendapat kod yang tidak betul, rayuan bagi mendapatkan kod baharu akan mengambil masa yang lama dan ia akan seterusnya menghalang seseorang daripada mendapatkan akses ke mana-mana premis dan tempat-tempat yang memerlukan kod.
Nasihat itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa setakat ini, seramai 233,737 orang ramai telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi BruHealth dan sejumlah 3,825 buah syarikat serta premis telah mendaftar dalam aplikasi berkenaan.
Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa setakat ini, kira-kira 35,980 orang ramai telah mendaftar dan membuat tempahan slot bagi solat fardu Jumaat di masjid esok.
“Dengan ini, diingatkan kepada semua jemaah yang akan datang ke masjid iaitu mereka yang sudah mendaftar dan diberikan kod hijau, untuk memakai penutup mulut dan hidung atau face mask semasa berada di kawasan masjid dan untuk membawa tikar sembahyang sendiri yang berukuran besar.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, jemaah juga dinasihatkan untuk tidak bersalam-salaman dan segera balik sebaik sahaja selesai mengerjakan solat fardu Jumaat.”
Sementara itu, ketika menjawab persoalan yang dikemukakan jika solat Jumaat boleh dilakukan di perkarangan luar masjid jika kapasiti masjid 30 peratus telah dipenuhi, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa keramaian atau jumlah jemaah bagi setiap masjid sudah ditentukan dan apabila jumlah keramaian yang ditetapkan bagi masjid berkenaan telah dipenuhi, pagar masjid berkenaan akan ditutup.
Beliau menekankan lagi bahawa tidak ada jemaah yang dibenarkan untuk melakukan solat di perkarangan luar masjid berkenaan.
