Jujur galas amanah yang diberikan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Sebagai seorang pekerja khususnya penjawat awam yang telah diberikan mandat untuk memegang jawatan dalam kerajaan, hendaklah berhati-hati dalam melakukan sesuatu amanah yang diberikan dan jangan sampai amanah yang dipertanggungjawabkan itu dikhianati.

Khatib menekankan perkara tersebut dalam Khutbah Jumaat bertajuk ‘Menghiasi Diri Dengan Akhlak Mulia’, dan seterusnya menjelaskan, terdapat beberapa perkara menjaga amanah dalam pekerjaan yang perlu dititikberatkan.

Ini seperti menjaga dan menepati waktu bekerja, jujur dalam mencari sumber kewangan tanpa melibatkan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, tidak menzalimi dan menindas orang lain untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, keluarga dan seumpamanya.

Khatib seterusnya menambah, seorang pekerja yang jujur dan amanah melihat pekerjaanya sebagai tanggungjawab yang bakal dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari kiamat kelak.

Dalam agama Islam, kedudukan orang berakhlak baik dan mulia itu sangat tinggi dan menghiasi diri dengan akhlak baik adalah amat penting dalam membina dan membantu kerukunan kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.

“Berintegriti adalah antara akhlak mulia dan terpuji yang mesti diterapkan dalam kehidupan seharian dan antara contoh yang boleh dikaitkan dengan integriti itu ialah mengamalkan sikap jujur dan amanah dalam pekerjaan, tidak kira sama ada bekerja sendiri, di sektor awam mahu pun swasta,” jelasnya.

Khatib turut menjelaskan, Allah mengutuskan penghulu dan penutup sekalian Nabi dan Rasul iaitu Nabi Muhammad SAW di mana Baginda diutus untuk membawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh alam.

“Baginda juga diutus untuk mengajar dan menjadi contoh teladan kepada umatnya akhlak-akhlak yang mulia.”

Sebagai umat Islam, akhlak mulia yang ada pada diri Rasulullah SAW seperti sifat jujur, amanah, ikhlas, bertimbang rasa, berani kerana benar, hendaklah dijadikan sebagai suluh dan pakaian supaya berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah sempena Awal Tahun Baharu Hijrah 1442 Hijrah turut menyentuh mengenai berpegang kuat kepada nilai-nilai akhlak mulia ini.

Negara Brunei Darussalam setiap tahun meraikan Hari Perkhidmatan Awam yang mana perkhidmatan itu merupakan tonggak utama dalam menggerak aktifkan sumber tenaga manusia dan penyumbang kepada program pembangunan negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

Khatib juga menegaskan, penting seluruh perkhidmatan awam menerapkan budaya intergriti dan inovasi, setiap peringkat pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam diseru untuk menaik-taraf kualiti perkhidmatan awam yang cemerlang.

“Kepentingan menerapkan budaya integriti dan inovasi dalam perkhidmatan awam, jelas khatib, adalah selaras dengan tema Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-27 pada tahun ini, Perkhidmatan Awam Berintegriti dan Berinovasi Pemangkin Pembangunan Negara,” tambahnya.