Tuesday, September 10, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Julai ialah bulan kedua paling panas di seluruh dunia

    BRUSSELS, 8 OGOS – Julai 2024 ialah bulan kedua paling panas di seluruh dunia dalam rekod data, ketinggalan sedikit di belakang Julai 2023, lapor Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus dari kesatuan Eropah (EU) hari ini.

    Purata suhu udara permukaan pada bulan Julai ialah 16.91 darjah Celsius, 0.04 darjah Celsius lebih rendah berbanding setahun yang lalu, menandakan berakhirnya tempoh 13 bulan yang mana bacaan suhu bagi setiap bulan adalah yang paling panas dalam rekod sepanjang tahun, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Copernicus.

    “Rentetan bulan pemecahan rekod telah berakhir, tetapi hanya sedikit penurunan,” kata Samantha Burgess, timbalan pengarah agensi itu.

    Walaupun Julai 2024 hampir menjadi bulan paling panas, Bumi masih mengalami dua hari paling panas dalam rekod pada 22 dan 23 Julai lalu, dengan suhu purata global mencecah 17.16 darjah Celsius dan 17.15 darjah Celsius, kata laporan itu.

    “Konteks keseluruhan tidak berubah, iklim kita terus hangat,” kata Burgess sambil menambah bahawa kesan buruk perubahan iklim akan berterusan sehingga pelepasan gas rumah hijau global mencapai sifar bersih.

    Walaupun tahun 2023 telah disahkan sebagai tahun paling panas dalam rekod, laporan itu turut mencadangkan bahawa tahun 2024 berkemungkinan mengatasi 2023 dan menjadi tahun baharu yang paling panas.

    Ini adalah kerana dari Januari hingga Julai 2024, anomali suhu global ialah 0.27 darjah Celsius lebih tinggi daripada tempoh yang sama pada 2023. Untuk 2024 tidak melebihi 2023 sebagai tahun paling panas, purata anomali untuk baki bulan seterusnya perlu lebih rendah sekurang-kurangnya 0.23 darjah Celsius.

    Tetapi ini jarang berlaku dalam keseluruhan set data, menunjukkan kemungkinan 2024 menjadi tahun paling panas, tambah laporan itu. –  Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda