Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Julai rekod cuaca paling panas

    PARIS, 7 OGOS – Julai  bulan ketiga paling panas di seluruh dunia menamatkan rentetan suhu yang memecahkan rekod bulan lepas, tetapi banyak wilayah masih musnah akibat cuaca ekstrem yang dipertingkatkan oleh pemanasan global, kata perkhidmatan pemantauan iklim Eropah hari ini.
     
    Hujan lebat membanjiri Pakistan dan utara China; Kanada, Scotland dan Greece bergelut untuk memadamkan kebakaran hutan yang dipertingkatkan oleh kemarau berterusan; dan banyak negara di Asia dan Scandinavia mencatatkan purata tertinggi baharu bagi bulan tersebut.
     
    “Dua tahun selepas Julai paling panas dalam rekod, rentetan rekod suhu global baru-baru ini telah berakhir,” Pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah, Carlo Buontempo, berkata dalam satu kenyataan.
     
    “Tetapi itu tidak bermakna perubahan iklim telah berhenti,” katanya. “Kami terus menyaksikan kesan dunia yang semakin panas,” tambahnya.
     
    Seperti mana Jun, Julai juga menunjukkan sedikit penurunan berbanding dua tahun sebelumnya, dengan purata 1.25 darjah Celsius  (C) di atas era pra-perindustrian (1850-1900).
     
    Pada 2023 dan 2024 suhu panas di atas penanda aras itu sebanyak lebih daripada 1.5C, yang merupakan sasaran Perjanjian Paris yang ditetapkan pada 2015 untuk mengehadkan kenaikan suhu global pada tahap yang agak selamat.
     
    Peningkatan kecil itu sudah cukup untuk menjadikan ribut, gelombang panas dan kejadian cuaca ekstrem lain jauh lebih berbahaya dan memusnahkan.
     
    “Kami terus menyaksikan kesan pemanasan dunia dalam peristiwa seperti gelombang haba yang melampau dan banjir besar pada Julai,” kata Buontempo.
     
    Bulan lalu, suhu melebihi 50C di Teluk, Iraq dan buat pertama kali di Turkiye, manakala hujan lebat mengorbankan ratusan orang di China dan Pakistan. – AFP 
     
    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda