Pelakon kelahiran Australia, Julian McMahon yang meninggal dunia akibat kanser pada usia 56 tahun dilaporkan memiliki nilai kekayaan kira-kira RM67.5 juta (AS$16 juta).
Difahamkan sebahagian besar harta yang ditinggalkan datang daripada kerjaya lakonannya di Hollywood selama lebih tiga dekad selain daripada pelaburan hartanah di Amerika Syarikat dan Australia.
Menurut laporan, McMahon mendapat bayaran tinggi menerusi siri popular Nip/Tuck di mana pada tahun 2007 dia menerima bayaran sekitar RM528,000 untuk setiap episod
Di luar bidang seni, McMahon bijak merancang kewangan dengan pelaburan hartanah. Pada tahun 1997, beliau membeli sebuah kediaman di kawasan Hollywood Hills berhampiran papan tanda ikonik Hollywood pada harga sekitar RM3 juta.
Kediaman itu dijual semula pada tahun 2015 pada nilai RM9.2 juta sekali gus memberikan keuntungan bersih sekitar RM6.2 juta. Beliau juga dipercayai memiliki aset kediaman lain di Australia.
Memetik laporan mStar, berita kematian McMahon disahkan oleh isterinya, Kelly McMahon yang menyifatkan suaminya seorang yang penyayang dan sentiasa mahu menggembirakan individu dikenalinya.
Untuk info, pelakon kelahiran Australia itu merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri Billy McMahon dan memulakan kerjaya sebagai model sebelum menceburi bidang lakonan pada lewat tahun 80an. – Agensi
