Pelakon Malaysia, Che Puan Juliana Evans sedang mengintai peluang untuk melebarkan sayap seni ke Indonesia.
Juliana, 36, mengaku sudah lama menyimpan impian meneroka peluang di seberang, namun, baru sekarang berani memulakan langkah.
Pelakon filem Munajjim itu memberitahu, dia pernah cuba-cuba menjalani uji bakat untuk sebuah filem seram Indonesia, namun, belum tahu keputusannya.
“Uji bakat itu diuruskan ejen di Jakarta. Saya hanya hantar video lakonan kepada mereka. Setakat ini, saya masih lagi menanti keputusan uji bakat.
“Doakan semoga saya berjaya melebarkan saya ke seberang,” katanya ditemui di Minggu Fesyen Kuala Lumpur di ibu negara, baru-baru ini.

Menurut wanita berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu, cita-cita melebarkan sayap ke negara jiran sebelum ini terpaksa ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada rumah tangga dan anak yang sedang membesar.
Berikutan dua anak hasil perkongsian hidup dengan anggota kerabat Johor dan Selangor, iaitu Tengku Shariffuddin Shah, Juliana memikirkan ini masa sesuai untuk merealisasikan impian itu.
“Saya serahkan kepada rezeki. Kalau ada, saya terima. Sebelum ini, saya banyak berada di rumah dan fokus pada anak-anak sepenuh masa.
“Namun, sekarang, saya fikir tiba masa untuk kembali ke industri seni yang cukup saya rindukan.
“Saya pula sukakan filem seram dari Indonesia dan sudah ada pengalaman melakonkan filem genre itu di Malaysia,” katanya.
Juliana berkata, walaupun sudah bersedia untuk kembali aktif, namun, dia tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak dan rumah tangga.
Juliana akan memastikan jadual kerja disusun dengan baik agar diri bersedia dalam pelbagai sudut termasuk mental dan fizikal.
“Saya kena buat perancangan betul-betul sebelum kembali ke set penggambaran. Saya akan pastikan masa dengan anak-anak tetap ada.
“Saya mahu nikmati hidup sekalipun apabila kembali ke set lakonan. Saya akan buat permintaan untuk dapat luangkan masa dengan anak-anak,” katanya. – Agensi

