Jumaat ketiga saksi pertambahan jemaah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Seawal jam 11:30 pagi lagi sudah kelihatan beberapa kenderaan yang menuju dan menunggu di tepi jalan-jalan raya berhampiran masjid untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat bagi minggu ketiga sejak masjid-masjid dibuka semula setelah ditutup akibat wabak COVID-19.

Jumaat kali ini menyaksikan pertambahan jemaah ketika kebenaran untuk semua masjid utama di seluruh negara dibukakan, dengan ramai jemaah datang lebih awal berpandukan syarat-syarat dan arahan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Ketika tinjauan di Masjid Kampung Sungai Buloh, pihak Media Permata sempat menemu bual imam masjid, Pengiran Haji Lizam bin Pengiran Haji Merali, yang turut berada di barisan hadapan kawalan keselamatan bersama beberapa ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan pegawai-pegawai keselamatan beruniform khususnya daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang mengawal lalu lintas jalan raya dan kemasukan para jemaah ke dalam masjid.

Menurut beliau kehadiran amat menggalakkan sehingga kuota tempat saf duduk penuh dan menghampiri 300 jemaah.

Sementara itu, ketua imam masjid tersebut, Haji Kharul Amilin bin Salleh Muhammad melahirkan rasa kesyukuran atas kehadiran pemangku pengarah hal ehwal masjid yang telah sama-sama memberi pemedulian, nasihat dan komitmen untuk menambah baik tatacara pengendalian jemaah dan hal ehwal masjid semasa wabak COVID-19 ini dan begitu terharu melihat keramaian jemaah yang tetap bersemangat untuk mengimarahkan masjid-masjid di negara ini yang menunjukkan betapa rakyat dan penduduk negara ini tetap mendukung falsafah negara Melayu Islam Beraja.

Seorang jemaah, Awang Muhamad Bakri bin Awang Abdul Karim turut menyatakan rasa syukur atas kebenaran yang diberikan untuk bersembahyang Jumaat di masjid-masjid dan mengongsikan telah mengikuti tatacara pendaftaran BruHealth sejak minggu pertama ia diperkenalkan, dengan memastikan persiapan dan segala kelengkapan untuk bersolat dipatuhi.

Menurut Haji Suhib bin Haji Sulaiman, salah seorang AJK masjid yang mengendalikan pengurusan jemaah bermula daripada tugasan pemeriksaan suhu badan sehinggalah kepada penyelenggaraan tempat saf jemaah di dalam masjid, kejayaan bagi segala usaha dalam membendung penularan wabak di negara ini adalah berkaitan dengan disiplin, kepatuhan dan kerjasama semua pihak sama ada daripada pihak kerajaan, swasta, masyarakat dan lebih-lebih lagi ketaatan kita semua kepada Ulil Amri yang berjiwa rakyat dan amat mengasihi kita selaku rakyat Baginda.

Anggota PPDB, ABDB dan AJK masjid memeriksa suhu badan jemaah sebelum memasuki kawasan masjid.