Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah bot kecil migran tiba di UK meningkat dari tahun 2024

    LONDON, 23 OKT – Hampir 37,000 migran telah tiba di United Kingdom (UK) menggunakan bot kecil tahun ini, melebihi jumlah keseluruhan bagi tahun 2024, menurut angka Kementerian Dalam Negeri yang dikeluarkan hari ini.

    Isu ini menjadi cabaran besar bagi Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang sebelum ini berjanji untuk ‘menghancurkan sindiket’ penyeludup manusia yang mengenakan bayaran tinggi kepada migran untuk perjalanan berbahaya menyeberangi Selat Inggeris.

    Setakat tahun ini, sejumlah 36,954 migran telah menyeberangi dari utara Perancis ke pantai selatan England, berbanding 36,816 untuk keseluruhan tahun lalu.

    Dengan rasa tidak puas hati orang awam terhadap isu ini semakin meningkat, populariti parti Reform UK yang menentang imigrasi pimpinan figura Brexit, Nigel Farage, melonjak dalam tinjauan pendapat.

    Rekod tahunan ketibaan migran menggunakan bot kecil sebelum ini dicatat pada 2022 apabila jumlah setahun mencapai 45,774.

    Usaha Starmer untuk mengekang fenomena ini masih gagal membuahkan hasil.

    Dalam enam bulan pertama 2025, terdapat peningkatan 48 peratus dalam jumlah ketibaan migran menggunakan bot kecil berbanding tahun sebelumnya, dengan kerajaan menyalahkan cuaca kering yang berpanjangan. – AFP

    Sebuah bot pelarian berlepas untuk menyeberangi Selat Inggeris di Wimereux, utara Perancis, pada April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda