Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah dagangan Malaysia meningkat

    KUALA LUMPUR, 8 Feb – Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 1.5 peratus kepada RM1.49 trilion pada 2016 berbanding RM1.46 trilion pada tahun sebelumnya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Menurutnya, eksport naik 1.1 peratus kepada RM785.93 bilion dan import berkembang 1.9 peratus kepada RM698.66 bilion, menghasilkan lebihan dagangan RM87.27 bilion, iaitu lebihan dagangan tahun ke-19 berturut-turut sejak 1998.

    Mustapa berkata, eksport Malaysia ke ASEAN meningkat kepada 29.4 peratus pada 2016 berbanding 28.2 peratus pada 2015, yang tertinggi sejak 1993.

    “Pada Disember 2016, jumlah dagangan Malaysia mencatat pertumbuhan dua angka, iaitu 11.1 peratus kepada RM142.39 bilion berbanding setahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

    Menurut menteri itu, eksport pada Disember 2016 meningkat 10.7 peratus tahun ke tahun kepada RM75.55 bilion, nilai tertinggi pada 2016 dengan barangan pembuatan terus menyokong eksport Malaysia.

    Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika bercakap dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama
    Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika bercakap dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama

    Beliau berkata, peningkatan jumlah dagangan pada 2016 disumbangkan oleh dagangan lebih tinggi dengan China, yang berkembang RM10.09 bilion, Amerika Syarikat (RM6.87 bilion), Korea Selatan (RM3.56 bilion), Taiwan (RM3.29 bilion) dan Arab Saudi (RM3.04 bilion).

    Mustapa berkata, kenaikan besar itu juga dicapai dengan Turki berjumlah RM2.81 bilion, Hong Kong (RM1.93 bilion), India (RM1.85 bilion), Mexico (RM1.64 bilion), Brazil (RM1.52 bilion), Bangladesh (RM1.48 bilion), ASEAN (RM1.41 bilion) dan Kesatuan Eropah (EU) (RM549.6 juta).

    Menurutnya, penyumbang utama pertumbuhan eksport pada 2016 adalah peningkatan eksport pembuatan dan pertanian masing-masing sebanyak 3.2 peratus dan 4.7 peratus, mengimbangi eksport barangan perlombongan yang lebih rendah.

    Pertumbuhan berterusan eksport elektrik dan elektronik dipacu oleh permintan kukuh global untuk peranti elektronik dan peningkatan eksport ke ASEAN sebanyak 5.4 peratus dengan pertumbuhan besar ke Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam dan Filipina.

    Mustapa berkata, ASEAN kekal sebagai rakan dagangan penting dan strategik Malaysia, dengan RM230.93 bilion nilai eksport Malaysia pada 2016, kenaikan 5.4 peratus.

    Dari segi dagangan, ASEAN menyumbang 27.1 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia pada 2016, bernilai RM402.66 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 0.4 peratus, katanya.

    Menurut menteri itu, peningkatan eksport itu diterajui barangan pembuatan yang tumbuh RM12.97 bilion atau 6.7 peratus. Eksport barangan pembuatan menyumbang 89.1 peratus pada 2016 berbanding 87.9 peratus pada 2015.

    “Pengembangan dalam sektor ini disumbang oleh eksport lebih tinggi produk elektrik dan elektronik, produk petroleum, makanan diproses, kelengkapan pengangkutan, kimia dan produk kimia, jentera, peralatan dan alat ganti serta tekstil,” katanya.

    Di kalangan negara ASEAN, Singapura kekal sebagai pasaran eksport terbesar dengan 49.6 peratus daripada jumlah eksport ke rantau ini.

    “China kekal menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun kelapan berturut-turut sejak 2009. Pada 2016, dagangan Malaysia dengan China meningkat 4.4 peratus kepada RM240.91 bilion,” kata Mustapa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda