Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Jumlah jangkitan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kini melebihi 15,000 setelah 44 kes baharu dicatatkan pada hari ini, membawa jumlah kepada 15,036 kes.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan bahawa terdapat tambahan 10 kes baharu kepada lima kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.
Sementara itu, terdapat tiga kluster baharu dikesan yang melibatkan 27 kes.
“Kluster-kluster baharu ini adalah kluster kediaman di mana dua di antaranya iaitu Kluster Hamitan Group dan Kluster D’Sunlit staff house adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas beliau pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato lagi, tiga kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari, iaitu Kluster 9883, Kluster 10113 dan Kluster ISS Facility Services Sdn Bhd, menjadikan jumlah kluster aktif kekal 135 kluster.

Selain itu, terdapat satu kes import dicatatkan yang tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Jakarta melalui Singapura dengan menaiki Penerbangan Singapura SQ148 pada 22 November lalu.
Manakala itu, terdapat enam kes baru yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan, 45 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 14,412 kes manakala 525 kes aktif.
Dalam kalangan kes-kes yang dalam rawatan, empat kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).
“Sementara itu, tidak ada kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” tambah Yang Berhormat Dato.
Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,083 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 612,963 ujian.