Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan peningkatan di mana kadar purata harian kes pada minggu lepas ialah 388 kes sehari, berbanding 307 kes sehari (rajah bawah) pada minggu sebelumnya.
Statistik tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bi Haji Jaafar pada Sidang Media Normal Baharu COVID-19 Negara Brunei Darussa-lam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Sebanyak 40,321 keputusan ujian pantas antigen (ART) dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa seminggu di mana 6.7 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART positif,” kata Yang Berhormat Dato.
Menurut beliau, pada hari ini, tidak ada kes dalam kategori 4 dan 5 iaitu mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) atau memerlukan bantuan oksigen.
Dalam pada itu, sebanyak 417 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini iaitu 414 kes hasil ujian ART dan tiga kes adalah hasil daripada 123 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
Mengulas mengenai kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darusalam, sehingga kelmarin, Yang Berhormat Dato bahawa ia kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.6 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 10.7 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato mendoakan semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah SWT.


