ISLAMABAD, 6 JUN – Ibadah haji tahun ini di Arab Saudi mencatatkan jumlah jemaah terendah dalam tempoh 30 tahun, tidak termasuk semasa pandemik COVID-19, menurut angka yang dikeluarkan kelmarin.
Menurut hantaran Kementerian Haji negara itu di platform sosial X, ibadah tahunan umat Islam itu hanya menarik seramai 1,673,230 orang jemaah, kebanyakannya dari luar Arab Saudi.
Pihak berkuasa tidak memberikan penjelasan segera mengenai penurunan jumlah jemaah tersebut.
Angka itu menunjukkan penurunan hampir 160,000 jemaah berbanding tahun lalu, jauh lebih rendah daripada era pra-pandemik apabila kehadiran sering melebihi dua juta jemaah. Rekod tertinggi dicatatkan pada tahun 2012, apabila lebih 3.16 juta umat Islam menunaikan ibadah haji.
Kerajaan Arab Saudi melaksanakan ibadah haji secara berskala kecil semasa pandemik COVID-19, dengan pengurangan ketara dari tahun 2020 hingga 2022, namun tetap membenarkan sebilangan kecil umat Islam menyertai acara tahunan itu.

Haji pada tahun 2023 merupakan yang pertama diadakan tanpa sebarang sekatan sejak bermulanya pandemik pada 2020.
Kadar inflasi dan krisis ekonomi global telah menjadikan haji sukar dicapai bagi sesetengah pihak. Cuaca panas yang melampau serta peraturan kemasukan yang lebih ketat juga mungkin menghalang jemaah yang berpotensi daripada berangkat ke Arab Saudi tahun ini.
Terdahulu kelmarin, para jemaah berhimpun di Padang Arafah untuk beribadat dan bermuhasabah. Bukit berbatu itu mempunyai makna besar dalam Islam. Arafah disebut dalam Al-Quran dan merupakan tempat di mana Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhir semasa Haji Wada’.
Hari ini, para jemaah akan menuju ke kota khemah Mina untuk melontar jamrah, iaitu satu simbolik lontaran batu ke arah syaitan. – AP