Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah kadar kesuburan Singapura mencecah rekod rendah pada 2023

    SINGAPURA, 29 FEB – Kadar kesuburan jumlah penduduk (TFR) di Singapura turun di bawah 1 buat kali pertama dalam sejarah Republik itu.

    Anggaran awal menunjukkan TFR penduduk 0.97 pada 2023, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Singapura, Indranee Rajah di Parlimen, kelmarin.

    Kadar kesuburan yang rendah secara berterusan datang bersama populasi yang semakin tua, menimbulkan cabaran demografi berkembar untuk Singapura, katanya.

    TFR, yang merujuk kepada purata bilangan anak damit yang akan dimiliki oleh setiap wanita semasa usia reproduktifnya, turun lebih jauh daripada 1.04 pada 2022 dan 1.12 pada 2021.

    Indranee memberikan pelbagai alasan untuk perkara tersebut, termasuk pandemik COVID yang mengganggu rancangan perkahwinan dan anak damit beberapa pasangan, dan membentangkan langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk menyokong perkahwinan dan keibubapaan.

    TFR 0.97 meletakkan Singapura antara negara yang mempunyai kadar kelahiran terendah di dunia, dengan Korea Selatan mendahului senarai dengan TFR 0.72 pada 2023.

    Kadar kesuburan Singapura jauh di bawah kadar penggantian 2.1 – tahap kesuburan di mana penduduk menggantikan dirinya dari satu generasi ke generasi seterusnya.

    Seperti di banyak negara maju lain, penurunan kadar kesuburan mencerminkan perubahan generasi dalam keutamaan, dan golongan muda mungkin tidak melihat perkahwinan atau keibubapaan sebagai matlamat hidup yang penting, katanya.

    Tetapi ia mempunyai implikasi serius untuk masa depan Singapura, katanya, sambil menambah bahawa negara-negara seperti Korea Selatan dan Itali sedang bergelut dengan kelembapan ekonomi dan kejatuhan gaji yang ditambah lagi dengan kadar kelahiran mereka yang rendah dan perubahan demografi yang terhasil. – ANN/The Straits Times

    Anggaran awal menunjukkan jumlah kadar kesuburan penduduk Singapura sebanyak 0.97 pada tahun 2023. – ANN/The Straits Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda