TOKYO, 5 JUN – Jumlah kelahiran di Jepun pada tahun lalu jatuh di bawah 700,000 buat kali pertama dalam rekod, menurut data kerajaan yang telah dikeluarkan kelmarin.
Negara yang sedang mengalami penuaan penduduk secara pesat itu mencatatkan hanya 686,061 kelahiran anak damit pada 2024 iaitu 41,227 kurang berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah itu merupakan angka terendah sejak rekod bermula pada 1899. Menurut Bank Dunia, Jepun kini mempunyai populasi kedua tertua di dunia selepas Monaco.
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, menyifatkan keadaan itu sebagai ‘darurat senyap’ dan berikrar melaksanakan dasar mesra keluarga seperti waktu kerja lebih fleksibel untuk membendung penurunan itu.
Data Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan kelmarin turut menunjukkan kadar kesuburan keseluruhan negara itu, dengan purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita turut jatuh ke paras terendah dalam sejarah iaitu 1.15.
Kementerian turut melaporkan, Jepun telah mencatatkan 1.6 juta kematian pada 2024, meningkat 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ishiba menyeru agar kawasan luar bandar dihidupkan semula, memandangkan banyak perkampungan yang dihuni warga emas semakin terpinggir dan terasing.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, lebih 20,000 komuniti di Jepun kini mempunyai majoriti penduduk berusia 65 tahun ke atas. – AFP
