Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah kematian akibat banjir, tanah runtuh di Indonesia meningkat

    JAKARTA, 11 MAC – Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera Indonesia telah meningkat kepada 26 orang, kata seorang pegawai semalam, dengan kira-kira 11 orang masih hilang.

    Hujan lebat pada Khamis mencetuskan bencana di wilayah Sumatera Barat, di mana sungai melimpah dan tanah runtuh menelan rumah.

    “Sebelas orang masih hilang manakala 26 lagi ditemui mati,” kata jurucakap Agensi Tebatan Bencana Kebangsaan, Abdul Muhari dalam satu kenyataan hari ini.

    Di daerah Pesisir Selatan, 23 orang ditemui mati dan enam masih hilang, menurut Fajar Sukma, pegawai dari agensi mitigasi bencana Sumatera Barat.

    Tiga lagi mangsa ditemui mati di daerah Padang Pariaman yang juga mengalami kerosakan yang teruk.

    Usaha menyelamat telah terhalang oleh cuaca ekstrem dan bekalan elektrik yang tidak stabil, kata Sukma.

    “Hujan masih turun hari ini dan anggota penyelamat sedang menjalankan operasi menyelamat di tengah-tengah hujan.

    “Ada kemungkinan jumlah korban akan terus meningkat ketika kami mengemas kini laporan,” katanya.

    Sukma berkata, setakat Ahad, anggota penyelamat telah berjaya membuka akses ke kawasan paling terjejas dan mengagihkan bantuan kepada mangsa yang dipindahkan, termasuk khemah, ubat-ubatan dan makanan segera.

    Bencana itu telah merosakkan ratusan rumah, jambatan, masjid, dan kemudahan awam lain.

    Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan dan masalah itu telah menjadi lebih teruk di beberapa tempat dengan penebangan hutan, dengan hujan lebat yang berpanjangan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negara kepulauan itu. – AFP

    Penduduk kampung berdiri berhampiran rumah rosak di tepi sungai selepas banjir kilat di Pesisir Selatan di Sumatera Barat pada 10 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda