Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Negara Brunei Darussalam menyaksikan penurunan jumlah kes baharu hari ini, mencatatkan 104 kes jangkitan COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes kepada 1,873 orang.
Terdapat tambahan kes-kes baharu kepada kluster-kluster aktif yang sedia ada iaitu lima kes bagi Kluster The Mall; tiga kes bagi Kluster Imigresen; tiga bagi Kluster Al-Falah/Freda-Radin; dua bagi Kluster Semporna Enak; dua bagi Kluster Chung Hua KB; dua bagi Kluster Champion 7–Platform; dua bagi
Kluster Dragon Boat; dua bagi Kluster Samima; dua bagi Kluster Jaya Hypermart dan satu kes bagi Kluster BSP HQ (Block M).
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkemba- ngan itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Sementara itu, terdapat satu kluster baharu telah dikenal pasti iaitu 10 kes baharu yang dikaitkan dengan Kes 418 yang telah dilaporkan pada 19 Ogos 2021. Kluster tersebut sekarang dikenali sebagai Kluster 418.

“Manakala terdapat 70 kes masih dalam siasatan untuk mengetahui sumber jangkitan,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Menurut Yang Berhormat Dato lagi, kes dalam kluster-kluster aktif tersebut adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.
“Pengesanan kontak bagi semua kes baharu ini masih giat dijalankan.
Semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2,” katanya.
Beliau juga mengongsikan bahawa terdapat 17 kes telah disahkan sembuh pada hari ini membawa kepada jumlah kes yang sembuh kepada 436 kes.
Ini bermakna terdapat 1,432 kes aktif telah direkodkan.
“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, empat kes dalam keadaan kritikal yang mana tiga daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (ventilation) dan satu lagi kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).”
“Sementara itu, 27 kes lain juga ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi,” jelas Yang Berhormat Dato.
Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,866 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 204,923 ujian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.