Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Jumlah kes harian meningkat di China

    BEIJING, 22 NOV – Lebih 253,000 kes koronavirus telah dikesan di China sejak tiga minggu kebelakangan dan kadar jangkitan harian terus meningkat, menurut kenyataan kerajaan hari ini.

    Ini sekali gus menambah tekanan kepada pegawai-pegawai yang cuba mengurangkan kemerosotan ekonomi dengan melonggarkan pengawalan yang mengurung jutaan penduduk di kediaman mereka.

    Parti pemerintah Komunis awal bulan ini berjanji untuk mengurangkan gangguan daripada strategi ‘sifar COVID’ dengan menjadikan pengawalan lebih fleksibel. Tetapi gelombang penularan terbaharu menjadikan langkah pelonggaran semakin mencabar.

    Bandar-bandar utama termasuk Beijing terpaksa menutup daerah-daerah paling padat penduduk, kedai dan pejabat serta mengarahkan kilang-kilang untuk mengasingkan kakitangan mereka daripada berjumpa dengan orang luar. Ini telah menambah kebimbangan dalam aktiviti perniagaan China yang mungkin memberi kesan kepada perdagangan global.

    Sejak beberapa minggu kebelakangan, purata kes jangkitan ialah 22,200, iaitu meningkat dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya, menurut laporan agensi berita China (CNS), memetik Biro Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Kebangsaan.

    “Beberapa buah wilayah berdepan dengan situasi paling teruk dan kompleks dalam tempoh tiga tahun kebelakangan,” kata jurucakap biro, Hu Xiang, semasa sidang media, menurut CNS.

    Jumlah jangkitan di China lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat dan negara-negara utama lainnya. Tetapi parti pemerintah tetap berkeras dengan ‘sifar COVID’, yang menggesa untuk pengasingan dalam setiap kes, sementara kerajaan lain melonggarkan sekatan perjalanan dan pengawalan lainnya serta cuba untuk hidup bersama virus.

    Hari ini, kerajaan melaporkan 28,127 kes dalam tempoh 24 jam, termasuk 25,902 kes yang tidak menunjukkan sebarang gejala. Hampir satu pertiga, atau 9,022 kes dikesan di wilayah Guangdong, kawasan pengilangan penting berhampiran Hong Kong. – AP

    Seorang petugas kesihatan menjalankan ujian calitan ke atas seorang penduduk di Beijing, kelmarin. China mencatatkan lebih 253,000 kes koronavirus sejak tiga minggu kebelakangan. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...