Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah kes HFMD meningkat

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah menunjukkan peningkatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan dalam tempoh bermula 1 Januari hingga 6 Mac, kes HFMD yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam berjumlah 1,751 kes berbanding dengan jumlah purata lima tahun kebelakangan iaitu 2019-2023 bagi tempoh yang sama iaitu sebanyak 598 kes.

    Menurut Kementerian Kesihatan, 55 peratus daripada semua kes yang dilaporkan setakat ini adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

    Sementara itu, tidak ada kes kematian akibat HFMD telah dilaporkan di negara ini sejak satu kes kematian dilaporkan pada 2005.

    Kementerian Kesihatan menjelaskan HFMD merupakan salah satu jangkitan yang biasa dihidap oleh kanak-kanak, terutama sekali mereka yang berumur di bawah lima tahun.

    Gambar Freepik

    Tanda-tanda penyakit berkenaan termasuk demam panas, kurang nafsu makan, berasa tidak sihat, ruam kulit dan sakit tekak. Luka-luka dan ulser dalam mulut juga kerap dialami iaitu pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi.

    Jangkitan itu disebabkan oleh beberapa jenis virus yang boleh merebak daripada seorang ke seorang melalui sentuhan tangan atau menyentuh permukaan yang dicemari virus berkenaan.

    Anak-anak damit mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti di mana boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti penyakit radang otak (encephalitis) dan dehidrasi.

    Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai ter-utamanya mereka yang membawa anak-anak mereka bercuti ke luar negara dan dengan bermulanya musim persekolahan tidak lama lagi, untuk mengambil langkah-langkah kewaspadaan, pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan.

    Langkah-langkah berkenaan termasuk sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan cecair pembersih tangan atau sabun dengan air yang bersih selepas menggunakan tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, selepas menukar lampin atau melakukan apa jua jenis pekerjaan rumah, sentiasa menjaga kebersihan persekitaran sama ada di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak atau sekolah, tidak menghantar kanak-kanak yang dijangkiti HFMD ke sekolah bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain.

    Mereka juga dinasihatkan tidak dibawa ataupun pergi ke tempat tempat awam seperti pasar raya, kompleks membeli-belah, taman permainan, kolam renang dan lain-lain selain disarankan untuk membersihkan dan menyahkumankan permukaan yang tercemar termasuk alat permainan serta jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, sudu dan garpu.

    Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk membawa anak-anak mereka dengan segera ke pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital yang berhampiran jika terdapat tanda-tanda HFMD.

    Sementara itu, berhubung satu mesej tular mengenai satu kes kematian akibat HFMD, Kementerian Kesihatan telah menyelidiki perkara berkenaan dan mengesahkan perkara berkenaan tidak berlaku di negara ini.

    Kematian akibat HFMD biasanya disebabkan oleh jangkitan HFMD yang sangat teruk hingga menimbulkan komplikasi yang serius atau jika pada masa yang sama, pesakit juga menghidap penyakit-penyakit serius yang lain.

    Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi itu dan akan memaklumkan apa jua perkembangan mengenainya dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda