Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah mencecah lebih 7,000 apabila 166 lagi kes baharu disahkan pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 7,116 orang.
Selain itu, terdapat 47 tambahan kes baharu kepada 10 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya, kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan kemudiannya mengongsikan bahawa terdapat tiga kluster baharu telah dikesan iaitu Kluster 6925 yang mengandungi tujuh kes; Kluster 6738 yang mengandungi 12 kes dan Kluster 6625 yang mengandungi enam kes.
“Dalam pada itu, satu kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari. Kluster yang ditutup ialah Kluster Al-Falah/Freda-Radin,” tambah Yang Berhormat Dato yang kemudiannya menjelaskan bahawa jumlah kluster yang aktif pada masa ini adalah sebanyak 118.
Sementara itu, terdapat 94 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Dalam pada itu, 153 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 4,875 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,192 kes,” jelas beliau lagi.
Dalam kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, menurut Yang Berhormat Dato, tujuh kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.
“Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” tambahnya.
Sementara itu, 34 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.
Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa kelmarin (29 September) sehingga pagi tadi, Pusat Pengasingan Kebangsaan telah mencatatkan empat kelahiran anak damit bagi empat kes positif COVID-19.
“Kesemua ibu dan anak adalah dalam keadaan yang baik,” tambah Yang Berhormat Dato.
Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,575 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 355,811 ujian.