Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Kaji Selidik Kesihatan Mulut Kebangsaan (NOHS) pada 2016 mendapati jumlah kes karies gigi adalah tinggi di mana peratusan gigi rosak yang tidak dirawat adalah 71.5 peratus dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lima hingga enam tahun serta 64 peratus dalam kalangan orang dewasa.
Kaedah yang paling berkesan untuk mengurangkan karies gigi adalah dengan penggunaan fluorida, terutamanya fluoridasi air dan penggunaan ubat gigi fluorida.
Oleh itu, bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2024, Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan mengadakan aktiviti-aktiviti berkaitan yang berlangsung di Pusat Membeli-belah OneCity, Jalan Salambigar, hari ini.
Hadir pada acara sekali gus menyempurnakan pemotongan kek sambutan serta menyaksikan aktiviti yang diadakan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui; pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Semasa acara berkenaan, orang ramai berpeluang menyertai peme-riksaan gigi dan aplikasi pencegahan varnis fluorida yang disediakan. Mereka juga berpeluang mendapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai pakar pergigian, antaranya bahaya pendakap palsu atau fake brace dan venir palsu atau fake veneers.
Acara turut menawarkan khidmat nasihat kerjaya dan peluang pekerjaan di Perkhidmatan Pergigian seperti doktor gigi, juruhigin, juruterapi pergigian dan pembantu pergigian.
Hari Kesihatan Mulut Sedunia dianjurkan oleh FDI World Dental Federation yang diraikan pada 20 Mac setiap tahun. Tema sambutan kali ini ialah Mulut Sihat Adalah…..Badan Sihat, di mana ia mempromosikan pelbagai cara penjagaan kesihatan mulut serta mendedahkan hubungannya yang signifikan dengan kesejahteraan badan kita secara kesuluruhan.
Acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan kesihatan mulut dan cara penjagaan kesihatan mulut serta penekanan faktor risiko-risiko yang boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik, termasuk penyakit mulut.