RIO DE JANEIRO, 14 April – Para penyelamat masih berharap menemui mangsa-mangsa dalam runtuhan dua buah bangunan di Rio de Janeiro, menurut para pegawai semalam, ketika angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada lapan orang dengan 16 orang masih disenaraikan sebagai hilang.
Bangunan-bangunan empat tingkat itu runtuh Jumaat lalu di kawasan tepi bukit Itanhanga, sebuah kawasan yang teruk terjejas oleh hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini.
Para pekerja pertahanan awam, anggota bomba, anjing terlatih dan dron melancarkan usaha mencari 24 jam bagi mangsa-mangsa dalam runtuhan itu.
Luciano Sarmento dari jabatan bomba Rio semalam berkata dia berharap mangsa-mangsa yang masih hidup ditemui kerana ‘ruang udara mungkin terbentuk yang membolehkan orang bernafas.” – AFP