Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jumlah korban banjir di Afghanistan melebihi 330 orang

    KABUL, 12 MEI – Lebih daripada 330 orang telah terkorban akibat hujan ribut  dan banjir kilat yang melanda sebahagian besar wilayah Baghlan, Takhar, Badakhshan, dan Ghor di Afghanistan, menurut pejabat Program Makanan Sedunia (WFP) di Afghanistan dan pegawai tempatan.

    Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyatakan dalam hamtarannya di media sosial pada Sabtu bahawa lebih 300 orang terkorban di wilayah utara Baghlan sahaja, dengan lebih 1,000 rumah musnah.

    “WFP kini sedang mengagihkan biskut berkhasiat kepada mangsa yang terselamat,” katanya.

    Dalam satu laporan awal 160 orang dilaporkan terkorban dan 117 lagi cedera akibat hujan ribut serta banjir kilat yang melanda sebahagian besar Wilayah Baghlan, Takhar, Badakhshan dan Ghor di Afghanistan, menurut pegawai tempatan kelmarin, lapor Xinhua.

    “Banjir kilat baru-baru ini melanda kebanyakan bahagian wilayah termasuk Daerah Gozargah-e-Noor, Jelgah, Nahrin, Dushi, Baghlan-e-Markazi, Dahna-e-Ghori, Tala-o-Barfak, dan Barka, serta ibu kota Wilayah Pul-e-Khumri, mengorbankan 130 orang dan mencederakan 100 yang lain,” kata Jurucakap Gabenor Baghlan, Mullah Alam Majidi, kelmarin.

    Majidi berkata bencana alam ini kebanyakannya menjejaskan penduduk tempatan di Daerah Barka dan Baghlan-e-Markazi serta angka korban dijangka meningkat.

    Sementara itu, media asing memetik Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai berkata lebih 200 orang maut dan ribuan rumah musnah atau rosak di Baghlan.

    Ribut dan banjir turut menyebabkan 20 orang maut dan 14 cedera di Daerah Namak Ab, Ishkamish, Farkhar dan Kafgan di Wilayah Takhar, kata Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Takhar, Ahmad Sir Sajid, kelmarin.

    Beliau berkata 300 rumah serta kemudahan elektrik dan komunikasi turut rosak teruk.

    Tujuh orang terkorban dan tiga lagi cedera selepas banjir kilat melanda Daerah Chaharsada, Murghab, Saghar, Al-Farouq, Tewara, dan Bandar Firoz Koh, ibu kota Wilayah Ghor di barat, kata Jurucakap Gabenor Ghor, Abdul Wahid Hamas.

    Di samping itu, tiga orang maut dan dua lagi hilang akibat hujan ribut dan banjir di kebanyakan kawasan di utara Wilayah Badakhshan, lapor Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Badakhshan, Mawlawi Mohammad Akram Akbari.

    Afghanistan telah mengalami hujan lebat dan banjir sepanjang bulan lepas, menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. – Bernama

    Orang ramai kelihatan berhampiran dengan kediaman mereka yang rosak selepas banjir besar di wilayah Baghlan di utara Afghanistan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...