MUMBAI, 25 JULAI – Jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh dicetuskan oleh hujan monsun di India telah meningkat kepada 127 orang hari ini, kata para pegawai, dengan para penyelamat mencari puluhan lagi hilang.
Kawasan pantai barat negara itu telah dibanjiri akibat hujan berterusan sejak Khamis, dengan Jabatan Meteorologi India memberi amaran hujan selanjutnya beberapa hari ini.
Banjir dan tanah runtuh, bencana yang sering berlaku semasa musim monsun di India yang juga kerap menyaksikan bangunan-bangunan runtuh selepas beberapa hari hujan tanpa henti.
Pakar mengatakan perubahan iklim telah menyebabkan banjir tahunan meningkat dari segi kekerapan dan intensiti.
Di negeri Maharashtra, 117 orang telah terbunuh termasuk lebih 40 lagi dalam bencana tanah runtuh yang melanda kampung Taliye kira-kira 250km tenggara Mumbai pada Khamis.

Tanah runtuh juga telah meratakan puluhan buah rumah dalam beberapa minit, mengakibatkan dua struktur konkrit tumbang dan menyebabkan gangguan elektrik, kata penduduk tempatan kepada AFP.
Di kampung Posare, 210km selatan Mumbai, Pasukan Tindakan Bencana Kebangsaan berkata empat mayat telah ditemui semalam.
Di bahagian Chiplun, paras air meningkat kepada hampir enam meter pada Khamis selepas 24 jam hujan berterusan. Bagaimanapun paras air sejak itu mulai surut.
Lapan pesakit di sebuah hospital COVID-19 dilaporkan meninggal dunia selepas bekalan elektrik kepada ventilator terputus. – AFP