JAKARTA, 11 SEPT – Jumlah kematian akibat banjir kilat yang melanda dua pulau di Indonesia, termasuk destinasi pelancongan popular Bali, meningkat kepada 19 hari ini, menurut pihak berkuasa, dengan lima lagi masih hilang.
Hujan lebat sejak lewat Selasa telah mencetuskan banjir dan tanah runtuh di tujuh daerah di Bali, kata jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.
Jumlah korban di Bali telah meningkat kepada 14, naik daripada sembilan pada lewat kelmarin, dengan dua orang dilaporkan hilang, kata Abdul.
Lebih 500 orang telah dipindahkan, dengan kemudahan awam termasuk sekolah, dewan kampung dan masjid dijadikan pusat perlindungan sementara.
“Pegawai masih menjalankan usaha kecemasan seperti mencari mangsa serta mengurus banjir dan tanah runtuh yang menjejaskan orang ramai,” kata Abdul.
Jumlah korban banjir kilat yang melanda daerah Nagekeo, pulau Flores, juga meningkat kepada lima selepas seorang kanak-kanak ditemui meninggal dunia hari ini, kata ketua agensi pencarian dan penyelamatan tempatan, Fathur Rahman.

Pasukan penyelamat menggunakan jentera penggali dan dron haba semasa mencari tiga orang yang masih hilang di Nagekeo, kata Fathur.
Cuaca di bandar Bali, Denpasar, telah cerah, menurut wartawan AFP hari ini.
Namun, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) dalam kenyataan minggu ini berkata hujan sederhana mungkin kembali di beberapa wilayah termasuk Bali bermula esok hingga Isnin.
Musim monsun tahunan di Indonesia, biasanya antara November hingga April, sering membawa tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air.
Perubahan iklim telah menjejaskan corak ribut, termasuk tempoh dan keterukan musim, menyebabkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan angin kencang yang lebih kuat. – AFP

