Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah korban kebakaran kelab malam meningkat 8

    PHNOM PENH, 2 JULAI – Angka kematian meningkat kepada lapan dalam kebakaran kelab hiburan yang sedang diubah suai di ibu negara Kemboja, Phnom Penh, kata jurucakap polis perbandaran hari ini.

    “Dua lagi mayat ditemui di bangunan kelab malam yang hangus pagi ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa kepada lapan (enam lelaki dan dua wanita),” kata jurucakap Polis Perbandaran Phnom Penh, San Sok Seiha kepada Xinhua, sambil menambah bahawa mangsa adalah pekerja pengubahsuaian.

    “Menurut pemeriksaan forensik oleh doktor, lapan orang itu meninggal dunia akibat sesak nafas,” katanya.

    Kebakaran berlaku pada petang Sabtu di tingkat lima kelab malam di daerah Tuol Kork di ibu negara ketika mangsa sedang mengubah suai bahagian dalam bangunan itu, kata Seiha.

    Menurut jurucakap itu, polis telah menahan empat orang untuk siasatan berhubung kemalangan tragis itu kerana seorang telah melarikan diri.

    Kemboja merekodkan 454 kemalangan kebakaran di seluruh negara pada 2022, dengan 42 orang terbunuh dan 55 yang lain cedera, menurut Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana (NCDM). – Xinhua

    Polis berdiri di hadapan kelab malam yang terbakar di Phnom Penh pada 2 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda