BANGKOK, 16 OKT – Jumlah korban akibat kebakaran yang memusnahkan sebuah kelab malam Thailand pada awal Ogos lalu telah meningkat kepada 25, kata pegawai hari ini, dengan lapan mangsa masih menerima rawatan perubatan.
Kebakaran meletus pada 5 Ogos di sebuah kelab malam Mountain B di wilayah Chonburi wilayah Thailand, kira-kira 150km tenggara Bangkok.
Pihak berkuasa menemui 13 mayat rentung di lokasi itu selepas kebakaran dipadamkan manakala 12 lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Pejabat Perhubungan Awam wilayah Chonburi berkata mangsa terbaharu adalah seorang wanita yang meninggal dunia di sebuah hospital hari ini.
Media tempatan melaporkan wanita tersebut berusia 26 tahun.
Lapan lagi masih dirawat di lapan buah hospital berlainan dengan dua daripadanya menerima rawatan ventilator, menurut satu kenyataan.
Sekitar 40 orang cedera dalam bencana tersebut, kesemuanya dipercayai warga Thailand.
Kebakaran meletus pada awal pagi dengan getah berbusa pada dinding kelab itu telah memarakkan lagi api tersebut, yang mengambil masa tiga jam untuk anggota bomba memadamnya. – AFP