Jumlah korban meningkat banjir landa Bhutan, Nepal

THIMPU, BHUTAN, 17 JUN – Puluhan orang telah terkorban di Bhutan dan Nepal manakala beberapa lagi hilang ketika hujan monsun membadai rantau itu, mencetuskan tanah runtuh hingga menenggelamkan beberapa kediaman, kata para pegawai hari ini.

Musim monsun tahunan sangat penting untuk menambah bekalan air di seluruh Asia Selatan namun ia juga menyebabkan kematian dan kemusnahan.

Seramai 10 pengutip kulat jenis kantung (cordyceps) – fungus yang bernilai dipercayai kerana sifat afrodisiaknya – maut ketika kem pergunungan terpencil mereka di bandar Thimpu utara Bhutan dihanyutkan awal kelmarin.

Lima yang lain cedera dan dalam keadaan yang stabil di hospital, kata para pegawai.

Perdana Menteri Bhutan, Lotay Tshering mengutus takziah dan berkata pasukan penyelamat telah dihantar ke tempat kejadian.

Pemandangan menyeluruh menunjukkan rumah yang dibanjiri di Sindhupalchok, kira-kira 70km dari Kathmandu pada 16 Jun. – AFP

“Saya menggesa orang ramai di seluruh negara untuk mengelak melawat atau berkhemah di tepi sungai dan berwaspada dengan kemungkinan sebarang kejadian semasa monsun ini,” tambahnya dalam mesej pada Facebook.

Di Nepal, dua mayat pekerja China telah ditemui hari ini dari Sindhupalchok dekat bandar Kathmandu, membawa jumlah korban akibat banjir di daerah itu kepada tiga orang.

Mayat mangsa ditemui lebih ratusan kilometer dari tempat mereka dihanyutkan oleh sungai Melamchi yang melimpah, kata para pegawai.
Kira-kira 13 yang lain masih hilang sementara ratusan lagi dipindahkan dari kediaman mereka, tambahnya.

“Kami melihat masih ada kemungkinan untuk menyelamatkan mereka yang hilang kerana beberapa daripadanya mungkin berteduh di tempat lebih selamat,” kata ketua daerah Arun Pokharel kepada AFP.

Setakat ini lebih 70 orang telah diselamatkan namun usaha mencari dan menyelamat dihambat oleh gangguan telekomunikasi di kawasan itu, tambahnya. – AFP