Jumlah korban nahas kapal karam meningkat 11 orang

ATHENS, 24 DIS – Jumlah korban dari bot pendatang asing yang karam meningkat kepada 11 nyawa hari ini, sementara yang lain, termasuk puluhan kanak-kanak, berjaya diselamatkan, kata pengawal pantai. Bot itu karam ketika membawa pendatang asing menuju ke utara pulau Greek, Antikythera petang kelmarin.

Sejumlah 11 mayat dijumpai setakat ini dan 90 orang lagi terdampar di pulau kecil telah diselamatkan semalam, menurut kenyataan pengawal pantai diperolehi AFP. Mangsa yang terselamat termasuk 27 orang kanak-kanak, 11 wanita dan 52 lelaki.

“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan, kerana masih lagi tidak pasti berapa orang yang berada di atas bot sebelum ia karam,” ujar pegawai.

Bot karam terjadi sehari selepas perahu yang membawa pendatang asing terbalik di kepulauan Folegandros, mengorbankan lebih kurang 3 nyawa, 14 orang telah diselamatkan, sementara puluhan lagi masih dilaporkan hilang, kata pihak berkuasa Greek.

Mangsa yang terselamat memberikan jumlah yang masih keliru, dengan ada yang mengatakan 32 orang berada atas bot, sementara yang lain memberi jumlah sekitar 50 orang, kata pengawal pantai kepada AFP. – AFP