JAKARTA, 16 NOV – Jumlah korban dalam kejadian tanah runtuh di Pulau Jawa meningkat kepada sekurang-kurangnya 11 orang, menurut seorang pegawai pada kelmarin, sekali gus mengemas kini angka terdahulu ketika pasukan penyelamat giat mencari 12 lagi mangsa yang masih hilang.
Tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat itu melanda tiga buah kampung di wilayah Jawa Tengah pada Khamis, menguburkan beberapa rumah selain merosakkan struktur lain.
“Setakat petang kelmarin, jumlah mangsa yang ditemui meninggal dunia ialah 11 orang, manakala 12 lagi masih dalam usaha pencarian,” kata Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat tempatan, Muhammad Abdullah, kepada AFP.
Dia berkata lebih 700 anggota daripada pasukan mencari dan menyelamat, tentera, polis serta sukarelawan terbabit dalam operasi tersebut.
Jurucakap agensi bencana nasional sebelum ini melaporkan dua mayat ditemui pada Khamis. Satu lagi ditemui pada Jumaat dan lapan lagi kelmarin, menurut Abdullah.
Kerajaan turut menggerakkan jengkaut dan anjing pengesan bagi membantu operasi pencarian mangsa, katanya. – AFP

