Thursday, December 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah korban tanah runtuh India meningkat

    NEW DELHI, 23 JULAI – Angka kematian akibat kejadian tanah runtuh besar di negeri Maharashtra, India meningkat kepada 27 orang, hari ini, dengan sekurang-kurangnya 50 orang masih hilang ketika pasukan penyelamat bergelut di tengah hujan lebat, kata pegawai.

    Tanah runtuh itu berpunca daripada hujan monsun pada Khamis, melanda sebuah kampung di daerah Raigad, tapak berbukit dan berhutan kira-kira 100 kilometer dari Mumbai.

    Pasukan kecemasan telah melakukan penggalian untuk mencari mayat di bawah timbunan tanah dan runtuhan.

    “Kami setakat ini telah mencatatkan 27 mayat, dan kira-kira 50 hingga 60 orang masih hilang, tetapi terdapat pelbagai cabaran untuk kerja menyelamat di lokasi tersebut,” kata pegawai Raigad Yogesh Mhase kepada AFP, hari ini.

    Mhase berkata bahawa kampung terpencil itu terletak kira-kira lima kilometer dari jalan terdekat.

    Pasukan penyelamat bekerja di tapak tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat di daerah Raigad, barat negeri Maharashtra, India 20 Julai. – AP

    “Tiada peralatan berat yang dapat memasuki lokasi itu, kami hanya memiliki mesin kecil dan sebahagian besar tugas perlu dilakukan secara manual,” tambahnya.

    Hujan lebat yang tidak berhenti di kawasan tersebut juga menjadikan keseluruhan operasi lebih mencabar.

    Pegawai tertinggi daerah itu berkata bahawa dia tidak optimistik mencari mangsa yang terselamat pada hari keempat penyelamatan yang sedang dijalankan.

    Laporan media tempatan mengatakan bahawa beberapa keluarga telah terkorban sepenuhnya, manakala mangsa yang terselamat adalah satu-satunya yang masih hidup dalam kalangan saudara mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda