PORT PIERCE, 11 OKT – Kira-kira 11 orang maut ketika Taufan Milton mencetuskan puting beliung yang membadai seluruh Florida, kata pegawai kelmarin ketika negeri itu berdepan dengan banjir, gangguan bekalan elektrik dan masalah lain akibat ribut yang lebih sederhana daripada dijangka yang pada awalnya disangka akan menjadi bencana besar.
Taufan itu melanda negeri tersebut lewat Rabu sebelum bergerak ke Lautan Atlantik, meninggalkan jalan raya yang disekat oleh pokok dan talian elektrik tumbang. Ia merosakkan bumbung sebuah stadium besbol. Kira-kira tiga juta rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik.
Namun, setakat ini nampaknya puting beliung, bukannya banjir, yang bertanggungjawab atas kematian akibat ribut itu.
“Ia agak menakutkan,” kata Susan Stepp, seorang penduduk berusia 70 tahun di Fort Pierce, sebuah bandar di pantai timur Florida di mana empat orang dalam sebuah komuniti warga emas terbunuh selepas puting beliung yang dibawa oleh Milton membadai bandar itu pada Rabu.
“Mereka menemui beberapa orang yang terbaring mati di luar, di atas pokok,” beritahunya kepada AFP.
“Saya harap mereka akan dipindahkan.”
Kematian termasuk lima orang di St Lucie County, tiga di Volusia County, dua di bandar St Petersburg dan seorang di bandar Tampa, kata pihak berkuasa tempatan.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro Mayorkas memberitahu pemberita bahawa kematian disebabkan oleh puting beliung.
Di Tampa, polis menemui seorang wanita berusia awal 70an terperangkap di bawah dahan pokok besar dan mengisytiharkan beliau telah meninggal dunia dengan menyatakan bahawa kematiannya dipercayai ada kaitan dengan usaha pemulihan selepas Taufan Milton. – AFP