Sunday, February 16, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah korban tragedi Sumatera meningkat kepada 21

    JAKARTA, 10 MAC – Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah susur di pulau Sumatera, Indonesia, telah meningkat kepada 21, kata seorang pegawai hari ini, dengan enam orang dilaporkan masih hilang.

    Hujan lebat pada Khamis mencetuskan bencana di daerah Pesisir Selatan di wilayah Sumatera Barat, dengan lebih 75,000 orang terpaksa dipindahkan.

    “Setakat Ahad, 21 orang ditemui mati dan enam orang masih hilang,” kata Fajar Sukma, seorang pegawai dari agensi mitigasi bencana Sumatera Barat, kepada AFP melalui telefon hari ini.

    Sebuah kampung yang terletak di lereng bukit di mukim Sutera dilanda teruk, dengan kira-kira 200 keluarga di kawasan tersebut terputus hubungan selepas berlaku tanah susur diikuti oleh banjir kilat, kata Fajar.

    Seorang pegawai tempatan sebelum ini meletakkan angka kematian pada 18 dengan lima orang hilang.

    Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang hilang hari ini ketika pihak berkuasa menumpukan operasi mereka di tiga kawasan yang terjejas akibat bencana tersebut, kata pegawai mencari dan menyelamat tempatan, Abdul Malik.

    “Pencarian hari ini melibatkan kira-kira 150 orang daripada organisasi bencana di Sumatera Barat,” kata Abdul dalam satu kenyataan. – AFP

    Foto bertarikh 8 Mac oleh Badan Mitigasi Bencana (BNPB) Indonesia menunjukkan anggota penyelamat bekerja di tempat kejadian tanah runtuh di Padang Pariaman, Sumatera Barat. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda