Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah mangsa banjir Sabah berkurangan pagi ini

    KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah berkurangan kepada 2,602 orang daripada 806 keluarga pagi ini, berbanding 3,325 orang daripada 964 keluarga petang semalam.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan kesemua mangsa kini ditempatkan di 22 PPS yang dibuka di enam daerah iaitu Beaufort, Penampang, Membakut, Papar, Putatan dan Sipitang.

    “Daerah Penampang mencatatkan trend penurunan jumlah mangsa banjir, manakala lima daerah lain kekal dengan jumlah yang sama,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan pedalaman Sabah akan mengalami ribut petir petang ini manakala kawasan lain pada sebelah malam.

    Di Sarawak, Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan 13 orang daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, setakat jam 6 pagi tadi.

    Dalam pada itu, berdasarkan laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai di stesen Long Teru, Miri mencatatkan 9.13 meter, melepasi paras bahaya lapan meter.

    Paras sungai di stesen Marudi pula mencatat bacaan 4.38 meter, melepasi paras bahaya 3.25 meter manakala di Lubok Piasau II, Limbang paras sungai kekal pada 2.24 meter, melebihi paras bahaya 2.2 meter. – Bernama

    Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Keramat Putatan, Sabah 17 September lalu. Jumlah mangsa banjir Sabah berkurangan pagi ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda