SHIKA, 8 JAN – Bilangan mangsa yang tidak dapat dikesan selepas gempa bumi Tahun Baharu Jepun meningkat tiga kali ganda hari ini kepada 323, manakala jumlah kematian meningkat kepada 168, menurut pihak berkuasa tempatan.
Lambakan salji yang tebal telah menyukarkan usaha bantuan seminggu selepas gempa bumi berukuran 7.5 magnitud, dengan lebih 2,000 orang masih terputus hubungan dan ramai yang mengalami masalah bekalan elektrik atau terpaksa mencari perlindungan di tempat kecemasan yang sesak.
Senarai terkini yang dikeluarkan oleh wilayah Ishikawa di tengah Jepun hari ini menunjukkan jumlah orang hilang meningkat daripada 31 kepada 281 di Wajima, salah satu kawasan yang terjejas teruk, di mana gempa bumi meratakan puluhan rumah dan kebakaran besar memusnahkan kawasan luas.
Di bandar Suzu di wilayah itu, seorang wanita berusia 90an berjaya bertahan lima hari di bawah runtuhan rumah sebelum diselamatkan pada Sabtu lalu.
“Tunggu di situ!” anggota pasukan penyelamat kedengaran memanggil wanita itu, dalam rakaman polis dari tempat kejadian yang diterbitkan oleh media tempatan.
“Awda akan baik-baik saja!” jerit mereka. “Kekal positif!” sahutnya.
Tidak semua bernasib baik, dengan Naoyuki Teramoto, 52, berasa sangat sedih hari ini selepas tiga daripada empat mayat anaknya ditemui di bandar Anamizu.
“Kami bercakap tentang rancangan untuk pergi ke Izu, sebuah pusat peranginan mata air panas yang terkenal selepas anak perempuannya lulus peperiksaan masuk sekolah menengah,” katanya kepada penyiar NTV. – AFP