BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Jumlah nilai eksport pada suku pertama (Q1) 2025 menurun sebanyak 15.3 peratus, didorong oleh penurunan indeks volum eksport (-17.7 peratus) dan indeks nilai unit eksport (-18.3 peratus).
Menurut kenyataan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), penurunan indeks volum eksport disumbangkan oleh bahan api galian terutamanya petroleum, produk petroleum dan bahan berkaitan, bahan kimia dan jentera dan kelengkapan pengangkutan.
Indeks nilai unit eksport juga mencatatkan penurunan, terutamanya disumbangkan oleh penurunan nilai unit bahan api galian (-17.2 peratus), bahan kimia (-12.9 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (-9.3 peratus).
Sementara itu, jumlah nilai import pada Q1 2025 juga menunjukkan penurunan sebanyak 16.8 peratus, kepada $2,136.8 juta, berbanding $2,569.5 juta pada Q1 2024.
Penurunan itu disumbangkan oleh penurunan indeks volum dan indeks nilai unit import masing-masing sebanyak 2.5 peratus dan 10.7 peratus.
Indeks volum import mencatatkan penurunan sebanyak 2.5 peratus. Penurunan itu didorong oleh penurunan volum import bahan api galian (-10.1 peratus), bahan kimia (-8.4 peratus) dan minuman (-6.4 peratus).
Manakala, indeks nilai unit import menurun pada Q1 2025, terutamanya disumbangkan oleh penurunan nilai unit barang-barang keluaran kilang (-23.4 peratus), bahan kimia (-14.2 peratus) dan bahan api galian (-12.4 peratus).
Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) menunjukkan perubahan nilai unit dan kuantiti komoditi import dan eksport di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh tertentu. Indeks itu juga bermanfaat untuk membuat analisa pasaran global yang berdaya saing dalam mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.
Laporan penuh IMTI bagi Q1 2025 boleh didapati melalui laman sesawang JPES – https://deps.mofe.gov.bn.
