Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah orang dapat kerja semakin meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Dalam merealisasikan strategi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk mengembang maju masyarakat progresif ke arah masyarakat cemerlang, bersatu-padu, berdaya tahan dan pemedulian, salah satu inisiaitif yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Membasmi Kemiskinan ialah mengemas kini Garis Panduan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) dengan syarat mandatori bagi pemohon yang berkemampuan (able-bodied) dan mampu untuk bekerja (able-to-work) untuk berdaftar di JobCentre Brunei (JCB).

    “Sasaran KPI bagi inisiatif ini ialah 500 golongan susah mendapat pekerjaan iaitu 200 orang melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan 300 orang melalui MPEC.”

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad (gambar) ketika mengulas mengenai usaha meningkatkan peratus penerima bantuan yang berkemampuan dan mampu untuk bekerja bagi mendapat pekerjaan dan mandiri ekonomi semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    Beliau mengongsikan bahawa jumlah penerima bantuan yang able-bodied dan able-to-work yang telah berdaftar di JCB ialah seramai 355 orang pada 2021 dan jumlah itu telah meningkat kepada 1,262 orang pada 2022.

    Manakala jumlah penerima bantuan able-bodied dan able-to-work yang telah mendapat pekerjaan ialah 123 orang pada 2020, 157 orang pada 2021, 145 orang pada 2022 dan 150 orang pada 2023 iaitu setakat Februari 2023.

    Antara inisiatif program yang dilaksanakan secara bersepadu dengan agensi berkepentingan seperti DARe yang mengadakan Micro Business Bootcamp.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan di bawah strategi yang sama, penerima-penerima bantuan yang able-bodied dan able-to-work juga diberikan peningkatan keupayaan dalam bentuk latihan kemahiran dan keusahawanan di bawah Program Komuniti.

    Program-program berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dengan agensi-agensi berkepentingan yang lain, khususnya JAPEM melalui latihan kemahiran dan program-program keusahawanan penerima-penerima bantuan, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Program PROPAZ-PPB dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) melalui Bantuan Keusahawanan serta Darussalam Enterprise (DARe) melalui Micro Business Bootcamp.

    Manakala itu, menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai keperluan pengesahan status penerima bantuan melalui penggandaan lawatan susulan ke tempat kediaman mereka, Yang Berhormat Dato berkata secara lazimnya, pekerja-pekerja sosial dari JAPEM sememangnya melaksanakan lawatan ke tempat-tempat kediaman para pemohon atau penerima bantuan.

    “Ini adalah bagi tujuan penilaian kelayakan para pemohon dalam mendapatkan bantuan dan penyambungan bantuan penerima bantuan ke tempoh seterusnya bagi memastikan bahawa pemohon atau penerima bantuan benar-benar layak menerima bantuan berkenaan.”

    Walau bagaimanapun, tambahnya, pihak kementerian menyambut baik cadangan berkenaan untuk memastikan tiada keciciran dan ketirisan bantuan berlaku.

    Seterusnya Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa selain daripada pendekatan oleh pekerja-pekerja sosial JAPEM, ketua-ketua kampung dan penghulu-penghulu mukim juga memainkan peranan penting dalam mendukung usaha-usaha JAPEM.

    Ini antaranya dengan mengesahkan maklumat dan keberadaan anak-anak buah kampung mereka, membantu dalam mengakses perkhidmatan-perkhidmatan JAPEM mengikut keperluan dan juga kelayakan mereka serta sebagai first responders bagi anak buah kampung yang memerlukan bantuan segera daripada bencana, keganasan rumah tangga dan sebagainya.

    Oleh itu, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan pihak penghulu dan ketua kampung untuk sama-sama memata-matai kesejahteraan anak-anak buah kampung serta menjadi mata dan telinga pihak kerajaan bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda