Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah pendaki Gunung Fuji menurun 14 peratus

    TOKYO, 11 SEPT – Jumlah pendaki Gunung Fuji berkurang pada musim pendakian tahun ini, menurut angka awal, selepas pihak berkuasa Jepun memperkenalkan bayaran masuk dan had harian bagi mengatasi pelancongan berlebihan.

    Tempahan dalam talian juga diperkenalkan tahun ini oleh pegawai yang bimbang tentang keselamatan dan kerosakan alam sekitar di gunung tertinggi negara itu.

    Jumlah pendaki menurun sebanyak 14 peratus antara awal Julai – ketika laluan pendakian gunung berapi itu dibuka untuk musim panas – dan awal September, menurut Kementerian Alam Sekitar.

    Untuk mengira angka awalnya, kementerian menggunakan peranti inframerah yang dipasang di empat laluan.

    Ia berlaku walaupun Jepun menyambut kedatangan pelawat asing yang memecah rekod, dengan hampir 18 juta pelancong memasuki negara itu pada separuh pertama tahun 2024.

    Para pegawai membangkitkan kebimbangan tahun lalu mengenai pelancongan berlebihan di lokasi persinggahan yang aman sebelum itu, dengan gabenor tempatan wilayah Yamanashi memberikan amaran bahawa ‘Gunung Fuji sedang menjerit’.

    Musim panas ini, Kementerian Alam Sekitar mengira sekitar 178,000 pendaki, berbanding lebih 200,000 pada tahun sebelumnya dan sebelum pandemik COVID-19.

    Pintu masuk ke laluan pendakian ditutup kelmarin, menandakan berakhirnya musim pendakian.

    Data awal ini adalah sehingga 4 September dan akan dikemas kini pada tarikh yang akan datang, kata seorang pegawai kementerian kepada AFP hari ini. – AFP

    Foto bertarikh 10 September ini menunjukkan pintu masuk sementara di Pintu Keluar Yoshida di stesen ke-5 Gunung Fuji ditutup bertepatan dengan penghujung musim pendakian gunung musim panas, di Fujiyoshida, wilayah Yamanashi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda