Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah pendaki terperangkap di Gunung Fuji menurun selepas peraturan diperketat

    SHIZUOKA, JEPUN, 12 OKT – Bilangan pendaki yang terperangkap di Gunung Fuji dari laluan wilayah Shizuoka menurun sebanyak 44 peratus berbanding tahun sebelumnya tanpa sebarang kematian dilaporkan, susulan pelaksanaan peraturan pendakian yang lebih ketat, lapor agensi berita Kyodo memetik polis tempatan.

    Walaupun jumlah keseluruhan pendaki yang menggunakan laluan wilayah itu dari Julai hingga September kekal tinggi sekitar 84,000 orang, hanya 36 pendaki dilaporkan memerlukan bantuan, berbanding 64 orang pada 2024 yang menyaksikan enam kematian.

    Gunung tertinggi Jepun, setinggi 3,776 meter itu sebelum ini berdepan pelbagai masalah melibatkan pendaki, termasuk amalan ‘pendakian peluru’ (bullet climbing) iaitu mendaki pada waktu malam tanpa berehat di pondok gunung.

    Ada juga pendaki yang mendaki dengan peralatan tidak mencukupi atau berpakaian terlalu santai, seperti hanya memakai T-shirt, seluar pendek dan selipar.

    Bagi mengelakkan pendakian berisiko, kerajaan wilayah Shizuoka melipatgandakan yuran masuk kepada 4,000 yen (AS$26) tahun ini dan melarang pendaki memasuki laluan antara 2 petang hingga 3 pagi kecuali mereka mempunyai tempahan penginapan di pondok gunung. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda