BRASILIA, 30 Ogos – Jumlah penduduk Brazil, negara kelima mempunyai penduduk paling ramai di dunia, yang kini melebihi 208 juta penduduk, menurut Institut Geografi dan Statistik Brazil (IBGE) kelmarin.
Secara keseluruhan, 27 persekutuan dihuni kira-kira 208,494,900 penduduk berbanding seramai 207,600,000 pada 2017.
Menurut data IBGE, tiga negeri di tenggara mempunyai populasi tertinggi iaitu Sao Paulo (45,538,936 penduduk), Minas Gerais (21,040,662) dan Rio de Janeiro (17,159,960).
Di bahagian timur laut pula, Bahia merupakan negeri didiami paling ramai penduduk berjumlah 14,812,617, di selatan pula Parana seramai 11,348,937 disusuli Rio Grande do Sul berjumlah 11,329,605 orang. Di utara, Para negeri paling ramai penduduk seramai 8,513,497 dan Goias di wilayah barat tengah dihuni 6,921,161 orang. – Bernama