Monday, September 23, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah penduduk Brunei meningkat

    Oleh: Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Anggaran jumlah penduduk tahun 2022 bagi Negara Brunei Darussalam adalah seramai 445,400 orang berbanding 440,715 orang pada tahun 2021, iaitu meningkat sebanyak 1.1 peratus.

    Jumlah penduduk pada tahun 2022 terdiri daripada 235,000 orang lelaki (52.8 peratus) dan 210,400 orang perempuan (47.2 peratus). Nisbah jantina adalah seramai 111.7 orang lelaki bagi setiap 100 orang perempuan.

    Demikian telah dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam Laporan Anggaran Penduduk Tahun 2022, pada hari ini, yang memberikan data mengenai anggaran jumlah penduduk dan ciri-ciri utama demografi penduduk Negara Brunei Darussalam pada tahun 2022.

    Pengiraan anggaran tersebut adalah berasaskan data akhir Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021 dan mengambilkira komponen utama perubahan penduduk iaitu kelahiran dan kematian bagi kenaikan semulajadi (natural increase); dan penghijrahan bersih (net migration).

    Sumber utama data bagi perkara tersebut adalah daripada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Menurut JPES lagi dalam penemuan-penemuan utama bagi Anggaran Penduduk Tahun 2022, rakyat Brunei merupakan bahagian terbesar sebanyak 76.0 peratus (338,300 orang), sementara agihan Penduduk Tetap dan Penduduk Sementara adalah masing-masing sebanyak 5.8 peratus (25,800 orang) dan 18.3 peratus (81,300 orang).

    Daerah Brunei Muara mempunyai bilangan penduduk tertinggi seramai 322,400 orang (72.4 peratus) daripada jumlah penduduk, diikuti oleh Daerah Belait seramai 66,100 orang (14.8 peratus), Daerah Tutong 47,400 orang (10.6 peratus) dan Daerah Temburong 9,500 orang (2.1 peratus).

    Mengikut taburan umur, kira-kira 20.5 peratus (91,500 orang) daripada jumlah penduduk adalah berumur di bawah 15 tahun, 73.0 peratus (325,200 orang) adalah penduduk dalam kumpulan umur bekerja 15-64 tahun, dan 6.4 peratus (28,700 orang) adalah penduduk yang berumur 65 tahun dan ke atas. Umur penengah (median) pada tahun 2022 adalah 32.0 tahun berbanding 31.7 tahun pada tahun 2021; dan

    JPES juga mengongsikan bahawa Bangsa Melayu merupakan komuniti terbesar di negara ini dengan agihan sebanyak 73.5 peratus (327,300 orang) daripada jumlah penduduk. Bangsa Cina dan lain-lain bangsa masing-masing merangkumi 9.5 peratus (42,300 orang) dan 17.0 peratus (75,800 orang) daripada jumlah penduduk.

    Laporan Anggaran Penduduk Tahun 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES.

    Jumlah penduduk Brunei Darussalam meningkat 1.1 peratus bagi tahun 2022 berbanding pada tahun 2021.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda