Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Jumlah perdagangan Brunei catat peningkatan 74.1%

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam mencatat nilai $2,640.6 Juta iaitu peningkatan sebanyak 74.1 peratus bagi bulan Disember 2021 berbanding $1,516.8 juta pada bulan yang sama tahun 2020.

    Manakala, bagi perubahan bulan-ke-bulan pula, jumlah perdagangan bagi bulan Disember 2021 meningkat sebanyak 12.3 peratus berbanding dengan bulan November 2021.

    Menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) hari ini, jumlah eksport meningkat 90.3 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,523.5 juta berbanding $800.6 juta pada Disember 2020.

    Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,224.7 juta (Disember 2021) daripada $647.3 juta (Disember 2020).

    Di samping itu juga, eksport kimia meningkat kepada $246.6 juta pada bulan Disember 2021 daripada $134.9 juta di bulan yang sama pada tahun 2020.

    Peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan dalam nilai eksport minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum manakala peningkatan eksport minyak mentah adalah disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada USD77.63 setong pada bulan Disember 2021 daripada USD49.32 setong pada bulan Disember 2020.

    Manakala peningkatan jumlah isi padu adalah 92.90 ribu tong sehari daripada 73.30 ribu tong sehari bagi tempoh yang sama.

    Sementara bagi eksport LNG, peningkatannya adalah disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$11.17 per MMBtu daripada AS$6.74 per MMBtu.

    JPES turut menjelaskan bahawa nilai eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran meningkat kepada $520.0 juta daripada $182.5 juta, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.

    Dari segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 80.4 peratus, diikuti dengan kimia 16.2 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan 1.7 peratus.

    Pasaran eksport utama pada bulan Disember 2021 adalah Jepun dengan 25.5 peratus diikuti oleh Australia 18.0 peratus dan Republik Rakyat China 15.2 peratus manakala komoditi eksport terbesar ke negara Jepun dan Australia adalah bahan api galian.

    Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,117.1 juta (Disember 2021) daripada $716.2 juta (Disember 2020) dan ini disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian.

    Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah bahan api galian dengan 67.8 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan 16.0 peratus, makanan 5.3 peratus, barang-barang keluaran kilang 3.9 peratus, dan pelbagai barang keluaran kilang 3.4 peratus.

    Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 58.8 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal 37.1 peratus dan barang penggunaan 4.1 peratus.

    Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Rusia iaitu 32.4 peratus diikuti oleh Malaysia 27.0 peratus dan Australia 10.2 peratus dengan komoditi import terbesar adalah bahan api galian.

    Manakala mengikut mod pengangkutan, pada bulan Disember 2021, peratus yang tertinggi bagi kedua-kedua eksport dan import adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,466.8 juta atau 93.4 peratus.

    Ini diikuti oleh pengangkutan udara $140.3 juta atau 5.3 peratus dan melalui darat $33.4 juta atau 1.3 peratus.

    Keseluruhan tahun 2021, nilai jumlah perdagangan adalah sebanyak $26,373.6 juta, iaitu peningkatan sebanyak 60.2 peratus berbanding $16,460.4 juta pada tahun 2020.

    Imbangan perdagangan meningkat kepada $3,336.0 juta berbanding $1,783.2 juta pada tahun 2020, iaitu meningkat 87.1 peratus tahun ke tahun.

    Jumlah eksport juga meningkat sebanyak 62.8 peratus kepada $14,854.8 juta berbanding $9,121.8 juta pada tahun 2020.

    Manakala jumlah import meningkat sebanyak 57 peratus daripada $7,338.6 juta (2020) kepada $11,518.8 juta pada tahun 2021 serta peningkatan jumlah eksport dan import ini disebabkan oleh peningkatan bahan api galian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...