Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam bagi bulan Februari tahun ini meningkat 6.8 peratus kepada $1,038.9 juta berbanding bulan Februari 2018.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) hari ini, jumlah eksport meningkat 8.1 peratus tahun-ke-tahun kepada $701.9 juta.
Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan 10.8 peratus eksport minyak mentah dan gas asli cecair (LNG).
Sementara jumlah import meningkat 4.3 peratus tahun-ke-tahun kepada $337 juta.
Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan mencatat sebanyak 40.7 peratus diikuti dengan barang-barang keluaran kilang sebanyak 19.2 peratus, makanan mencatat sebanyak 12.1 peratus, bahan-bahan kimia, 9.1 peratus dan bahan api galian sebanyak 9.1 peratus.
Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, import barang perantaraan merangkumi 58.3 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal sebanyak 34.0 peratus dan barang penggunaan, 7.7 peratus.
Pasaran eksport terbesar bagi Brunei Darussalam adalah Jepun dengan 51.2 peratus diikuti oleh Australia, 15.3 peratus dan Malaysia sebanyak 8.6 peratus.
Sementara dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah Republik Rakyat China dengan 30.4 peratus diikuti oleh Malaysia, 16.7 peratus dan Singapura sebanyak 16.1 peratus.
Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.
Laporan penuh IMTS bagi bulan Februari 2019 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.