KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Prestasi perdagangan Malaysia terus mencatatkan trend peningkatan pada Mac 2021, merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata jumlah perdagangan berkembang 25.6 peratus kepada RM185.74 bilion berbanding Mac 2020.
“Eksport naik 31 peratus melebihi aras RM100 bilion, bernilai sebanyak RM104.95 bilion. Import meningkat 19.2 peratus kepada RM80.79 bilion dan lebihan dagangan melonjak 96.1 peratus kepada RM24.15 bilion.
“(Justeru) perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan telah merekodkan pertumbuhan dua digit bagi dua bulan berturut-turut,” katanya menerusi satu kenyataan mengenai prestasi perdagangan luaran negara bagi Mac 2021.
Bagi suku pertama 2021, jumlah perdagangan berkembang 14.8 peratus kepada RM505.65 bilion berbanding suku yang sama tahun lepas.
Eksport meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM282.14 bilion dan import naik 10.8 peratus kepada RM223.51 bilion. Lebihan dagangan berkembang 58.6 peratus tahun ke tahun kepada RM58.63 bilion pada suku pertama 2021.
Mohamed Azmin berkata kenaikan eksport pada Mac telah disokong peningkatan dalam permintaan global terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) khasnya semikonduktor untuk kegunaan rangkaian 5G dan pengkomputeran berprestasi tinggi serta keluaran getah. – Bernama