Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Negara Brunei Darussalam mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak $1,989.2 juta bagi bulan September, dengan nilai eksport berjumlah $1,165.5 juta dan import sebanyak $823.7 juta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, bahan api galian menyumbang 75.4 peratus kepada nilai eksport, diikuti oleh bahan kimia sebanyak 22.6 peratus dan jentera serta kelengkapan pengangkutan sebanyak 1.0 peratus.
Pasaran eksport utama bagi bulan September adalah Republik Rakyat China dan Australia, masing-masing dengan 22.7 peratus, diikuti oleh Thailand dengan 10.9 peratus. Komoditi utama eksport ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian dan bahan kimia.
Sementara itu, nilai import pada bulan September 2024 mencatatkan $823.7 juta, dengan bahan api galian menyumbang 64.6 peratus, diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 11.6 peratus serta makanan sebanyak 7.6 peratus.
Rakan dagangan utama untuk import adalah Emiriah Arab Bersatu dengan 30.4 peratus, Malaysia sebanyak 25.2 peratus dan Republik Rakyat China sebanyak 9.2 peratus.
Komoditi import utama daripada negara-negara tersebut adalah bahan api galian, jentera dan kelengkapan pengangkutan, serta makanan.
Berbanding dengan Ogos 2024, imbangan perdagangan pada bulan September 2024 menurun sebanyak 30.9 peratus, disebabkan oleh penurunan nilai eksport sebanyak 7.5 peratus dan kenaikan import sebanyak 7.6 peratus.
Import bagi kategori penggunaan akhir, yang digunakan terutamanya sebagai barangan perantaraan untuk pemprosesan, mencatatkan 61.7 peratus, diikuti oleh barangan modal untuk operasi perniagaan sebanyak 33.6 peratus, dan barangan penggunaan isi rumah sebanyak 4.7 peratus.
Laporan penuh Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan September 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.