Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 41.1 peratus daripada $2,024.8 juta pada bulan November 2021 kepada $2,856.8 juta pada bulan November 2022, yang didorong oleh kenaikan dalam kedua-dua nilai eksport dan import antara tempoh tersebut.
Kenyataan berkenaan telah dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran media mengenai Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi November 2022, hari ini. Dalam laporan perangkaan berkenaan turut menyaksikan berlakunya peningkatan jumlah perdagangan pada November 2022 sebanyak 15.3 peratus, dise-babkan oleh kenaikan jumlah eksport, terutamanya bahan api galian berbanding bulan Oktober 2022. Begitu juga, laporan turut mengongsikan bahawa berlakunya peningkatan jumlah eksport sebanyak 31.0 peratus daripada $1,289.4 juta pada bulan November 2021 kepada $1,689.6 juta pada bulan November 2022. Ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan eksport bahan api galian daripada $1,041.2 juta kepada $1,332.8 juta dalam tempoh yang sama.
Peningkatan eksport bahan api galian berkenaan adalah didorong oleh peningkatan dalam nilai eksport minyak mentah, cecair gas asli (LNG) dan produk-produk petroleum.
Peningkatan eksport minyak mentah adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga purata sebanyak 18.3 peratus daripada AS$83.91 se-tong pada bulan November 2021 kepada AS$99.23 setong pada bulan November 2022 dan juga peningkatan jumlah isipadu daripada 67.63 ribu tong sehari pada bulan November 2021 kepada 79.18 ribu tong sehari pada bulan November 2022.
Manakala, peningkatan eksport LNG adalah terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga eksport sebanyak 37.2 peratus daripada AS$10.94 per MMBtu kepada AS$15 per MMBtu. Bagi eksport produk-produk petroleum, ia telah mencatatkan peningkatan daripada $467.9 juta kepada $588.8 juta, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.
Menyentuh dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama eksport Negara Brunei Darussalam iaitu sebanyak 78.9 peratus, diikuti dengan bahan kimia (18.9 peratus), dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.1 peratus).
Bagi pasaran eksport utama pada bulan November 2022 adalah Australia (27.8 peratus), diikuti oleh Malaysia (16.2 peratus), dan Republik Rakyat China (15.4 peratus). Komoditi eksport terbesar ke Australia dan Malaysia adalah bahan api galian, manakala Republik Rakyat China adalah bahan kimia.
Sementara itu, jumlah nilai import meningkat daripada $735.4 juta pada bulan November 2021 kepada $1,167.2 juta pada bulan November 2022, terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian khususnya minyak mentah sebagai input pengeluaran bagi industri petrokimia hiliran.


