Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Jumlah perdagangan bagi bulan Ogos 2024 meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada $2,025.8 juta, berbanding Julai 2024, yang mana peningkatan itu adalah disumbangkan oleh nilai eksport sebanyak $1,260.4 juta dan nilai import sebanyak $765.4 juta.
Penyumbang utama kepada nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 75.5 peratus, diikuti oleh bahan kimia sebanyak 18.9 peratus serta jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 4.8 peratus.
Pasaran eksport utama adalah Republik Rakyat China yang merangkumi 17.2 peratus, diikuti oleh Jepun dan Australia masing-masing sebanyak 16.1 peratus dan 14.7 peratus.
Manakala, komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian dan bahan kimia.
Sementara itu, import pada Ogos 2024 adalah bernilai $765.4 juta. Tiga komoditi import utama adalah bahan api galian, menyumbang sebanyak 63.4 peratus, diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 10.9 peratus serta makanan sebanyak 8.3 peratus.
Sumbangan terbesar rakan dagangan import pula adalah dari Malaysia sebanyak 39.8 peratus, diikuti oleh Australia sebanyak 10.5 peratus dan Republik Rakyat China sebanyak 10.3 peratus.
Sementara komoditi import utama daripada rakan dagangan adalah bahan api galian, jentera dan kelengkapan pengangkutan, serta makanan.
Secara keseluruhan, imbangan perdagangan meningkat sebanyak 30 peratus, disebabkan oleh peningkatan eksport sebanyak 7.3 peratus dengan nilai import mencatatkan penurunan sebanyak 3.6 peratus.
Import bagi kategori penggunaan akhir, terutamanya digunakan sebagai pemprosesan barangan perantaraan sebanyak 58.9 peratus, diikuti oleh barangan modal bagi operasi perniagaan sebanyak 37.3 peratus dan barangan penggunaan bagi kegunaan isi rumah sebanyak 3.8 peratus.
Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi Ogos 2024 boleh didapati melalui laman sesawang Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di https://deps.mofe.gov.bn.